Tukang masak terkenal, Redzuawan Ismail, 50, atau Chef Wan naik angin terhadap sebuah stesen televisyen swasta di negara ini gara-gara diminta menjadi tetamu undangan tanpa mahu mengeluarkan satu sen pun bayaran.Bukan berkira soal bayaran tetapi Chef Wan berpendapat, sesebuah stesen televisyen hendaklah menghormati tetamu yang mereka jemput dengan mengeluarkan sedikit peruntukan sebagai menghargai susah payah menjayakan program yang diterbitkan.
Tukang masak popular ini menegur stesen televisyen yang bersikap sedemikian dan menasihati mereka supaya membuang sifat buruk iaitu mengharapkan khidmat secara percuma.
Selasa lalu saya menghubungi Chef Wan untuk beliau tolong jawab beberapa perkara berhubung dengan isu itu.
Malah Chef Wan juga tidak gentar sekiranya pandangan beliau ini menyebabkan dia diboikot oleh sesebuah stesen televisyen.
"Kalau kena boikot, Chef Wan boleh jual pisang goreng," katanya meluahkan isi hati.
Apa sebenarnya telah berlaku?
Minggu lalu saya dapat undangan untuk rancangan bual bicara terbitan sebuah stesen televisyen swasta untuk bercerita sesuatu topik. Penerbitnya memaklumkan kepada saya, mereka tidak dapat bayar kepada saya dan meminta saya datang secara percuma. Saya tanya penerbit tersebut arahan siapa dan katanya, pihak atasan. Saya terkejut kenapa stesen televisyen yang untung berjuta-juta itu kedekut sangat.
Tak takut orang akan kata Chef Wan hanya memandang duit?
Saya tak hairanlah kalau setakat RM100, RM200 tu. Tapi saya kecewa dengan sikap stesen televisyen ataupun penerbit sesebuah rancangan. Mereka asyik nak ‘free' saja. Mentaliti itu kena ubah. Kita panggil orang, kita kena bayar. Kita kena fikir duit minyak, susah payah dia dan masa dia untuk memenuhi program kita. Saya bukan nak pun duit tu tapi saya cuma hendak mewakili artis-artis lain yang mungkin pernah mengalami pengalaman yang sama.
Tidakkah Chef Wan merasakan komen ini keterlaluan. Sebelum ini tiada sesiapa pun pernah mempertikaikan soal bayaran sedemikian?
Terpulanglah kalau ada yang nak anggap keterlaluan. Kepada saya, memang perkara ini pahit untuk ditelan. Tetapi saya mewakili barisan artis-artis lain. Mereka mungkin takut nak komen perkara ini tetapi biarlah Chef Wan yang bercakap dulu. Sudah tiba masanya stesen televisyen memikirkan perasaan orang lain dan tidak hanya tahu untuk mengaut keuntungan saja. Saya tak hairan sikit pun dengan bayaran tetapi bayangkanlah kalau Yusni Jaafar yang dijemput, mereka tak bayar dia. Tidak adakah perasaan kasihan dekat dia sebab dia orang susah? Kalau kena kepada saya tak apa sebab saya masih ada duit. Bayangkan juga kalau terjadi kepada artis-artis lain yang susah. Fikirlah sikit duit minyak atau tambang teksi mereka.
Adakah sudah tiba masanya stesen televisyen mengubah sikap itu?
Memang inilah masanya. Kita kena menghargai orang lain. Cuba fikir buat apa mereka jemput Chef Wan kalau Chef Wan itu tak ada kepentingan untuk topik yang hendak diperkatakan. Begitu juga dengan artis-artis atau tetamu lain. Jangan hanya tahu nak perah keringat orang tetapi tidak mahu untuk membantunya semula. Bayangkanlah artis-artis kita telah menabur jasa dan bakti mereka dalam bidang seni selama ini. Kita hendaklah menghargai mereka. Tak dapat banyak, sikit pun tak apa. Inikah sikap kita?
Adakah sebelum ini artis lain pun tidak dibayar?
Daripada apa yang saya tahu memang tidak dibayar. Saya kasihan apabila dapat tahu ada artis veteran yang datang jauh ke studio stesen televisyen itu tetapi balik dengan tangan kosong. Paling tidak bagi sikit duit tambang teksi untuk dia. Tidakkah namanya penganiayaan? Mereka buat stesen televisyen berjuta-juta boleh tetapi nak ‘lempar' seratus dua pun kedekut. Kenapa perkara seperti ini harus berlaku? Kepada saya, orang tua kita perlu hormat dan kenang jasa mereka. Semasa mereka hidup layanlah sebaik mungkin. Jangan tahu hendak sedut madu tapi buang apabila menjadi sepah.
Mungkin stesen televisyen itu tak ada peruntukan untuk dibayar kepada tetamu jemputan?
Kalau nak sebut soal peruntukan, sejak zaman dulu pun memang tak pernah ada. Sebab ada perasaan kedekut. Itu saja. Saya dah lali dengan alasan yang macam itu. Kalau tahu tak ada bajet jangan buat program. Saya nak tegur perkara ini untuk mewakili artis yang susah dan minta mereka yang terlibat itu ada sikit perasaan.
Chef Wan pun pernah terbitkan program masakan. Adakah Chef Wan membayar mereka yang dijemput?
Saya jenis yang tak berkira dan tak pernah nak mengambil kesempatan terhadap orang lain. Saya pernah terbitkan sebuah program tak lama dulu dan saya bayar semua artis yang saya jemput walaupun kemunculan mereka hanya sekejap. Sebagai contoh saya pernah bayar Eizlan Yusof RM1,000 dan Julie Dahlan RM1,500. Ezlan tanya saya kenapa Kak Julie dibayar lebih? Saya kata, dia dah veteran, apa salahnya kita bagi lebih sikit sebagai duit raya untuk dia atas dasar hormat.
Kadang-kadang stesen televisyen ni nak artis kenang budi. Dulu mereka yang menaikkan artis. Dah popular, balaslah balik. Dalam hal ini dua-dua pihak kena belajar antara satu sama lain. Dia orang kena hormat kita juga sebab kita bukannya nak minta sedekah. Bukannya isu kacang lupakan kulit tapi bayangkan apa akan terjadi kalau artis tu tak berkemampuan? Ia bukan untuk saya tetapi saya takut terjadi kepada artis-artis lain.
Tapi bukan saja stesen televisyen. Ada juga syarikat produksi yang kedekut nak bayar kalau buat program.
Memang saya setuju. Saya pernah membuat rakaman rancangan terbitan sebuah produksi. Tuan rumah yang kami pergi menyediakan makan dan minum. Apabila saya tanya tak bayar untuk tuan rumah, dia kata tak ada bajet. Saya teramat malu masa tu. Fikirlah sikit tuan rumah dah bagi makan minum. Akhir sekali saya keluarkan duit saya sendiri dan bagi kepada anak-anaknya.
Tidak bimbangkah dengan kenyataan Chef Wan ini, tidak mustahil stesen berkenaan akan menggam Chef Wan?
Kalau nak gam saya pun saya tak kisah. Tak panggil buat ‘talk show' pun tak apa. Berani kerana benar. Saya ni Chef Wan, jual pisang goreng pun boleh cari makan. Apabila kita bercakap macam ini, nanti orang kata kita ni mulut jahat tetapi sebenarnya yang baik orang susah nak terima. Saya berhak memperbetulkan perkara yang saya merasakan tak betul tetapi orang kena fikir masak-masak apa yang saya cakapkan ini.
TV apakah itu? Tv3, NTV7, TV8, TV9 atau Astro? Jom main teka2 diforum.
Kredit pada UTUSAN MALAYSIA.
January 27th, 2008 |